Halaman

Ahad, 16 Oktober 2011

Bangganya seorang ibu


  Perhimpunan Mingguan kali ini menampakkan suatu kelainan apabila salah seorang ibu bekas pelajar di sekolah ini telah dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau dijemput untuk berucap kerana anaknya Nurfarahin bt Jimat telah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam UPSR 2006. Nurfarahin telah memperoleh 5A dalam ujian penilaian tersebut.
            Dalam ucapannya Puan Suraya menzahirkan perasaan terima kasih kepada guru-guru di SK Paya Mebi kerana telah mendidik dan membimbing anaknya. Beliau sedar tanpa didikan dan bimbingan daripada guru-guru, kejayaan anaknya tidak akan dikecapi. Sehubungan itu, Puan Suraya turut mengingatkan pelajar-pelajar SK Paya Mebi khususnya pelajar-pelajar Tahun 6 agar belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan demi mengharumkan nama sekolah.
            Dalam majlis itu Puan Suraya turut mewakili anaknya menerima hadiah berupa wang tunai daripada Yayasan Sarawak. Hadiah itu telah disampaikan oleh guru besar SK Paya Mebi Puan Hamsiah Hj Jamil. Pada wajah Puan Suraya terpancar cahaya kegembiraan dan kepuasan kerana kprihatinannya dalam pelajaran anak-anak menampakkan hasil. Selain daripada Nurfarahin, Animie Husna bt Hassan juga terpilih menerima hadiah yang serupa. Kedua-dua pelajar ini menyambung pelajaran masing-masing di sekolah yang ‘ternama’ di Sarawak. Nurfarahin menyambung pelajarannya di SMKA Sheikh Hj Othman Abdul Wahab, Matang Kuching, manakala Animie Husna di SM Sains Kuching.
            Kejayaan ini pastinya menjadi lakaran yang paling manis buat Nurfarahin dan Animie Husna. Selain dapat menempatkan diri sebaris dengan pelajar-pelajar lain di sekolah yang ‘ternama’ mereka turut membanggakan kedua ibu bapa, masyarakat kampung dan warga sekolah SK Paya Mebi. Semoga kejayaan yang diperoleh hari ini merupakan titik tolak untuk kedua-duanya menggapai kejayaan yang lebih bermakna suatu hari nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan