Halaman

Khamis, 1 November 2012

Majlis Khatamal Al-Quran 2012.

Oleh : rie.mohd


Peserta-peserta khatam yang mengambil bahagian.
Selasa, 23 Oktober 2012, tercatat sejarah manis buat SK Paya Mebi Padawan, apabila Panitia Pendidikan Islam dan j-Qaf, KAFA serta seluruh warga SK Paya Mebi berjaya menganjurkan Majlis Khatamal Al-Quran buat kali kedua selepas tahun 2011. Majlis kali ini berjaya mengetengahkan 18 orang peserta khatam berbanding 11 orang pada tahun 2011. Antara peserta khatam tersebut adalah Attirmizi bin Hamzah, Nur Naziha Aida bt Rosli, Nur Irma 'Ain Misli, Azrul Hafiz bin Riezman, Mohd Hanif bin Mohd Hanafi, Muhd Ariq Azhad bin Azhar, Nur Ain bt Japar, Aditya Noor Wijaya bin Endro Widoyoko, Muhamad Nazierin bin Razali, Muhd Haraz bin Aini, Miza Nazirah bt Hizam, Nur Atiqah Hafizah bt Puasa, Nur Aziera bt Alli, Nurul Aini Anirah bt Mohd Hanif, Roniah bt Simpoh, Nurhasnatasha bt Muhd Ryzam, Khairun Najwa bt Hatta dan Mohd Asri bin Jefri

Peserta khatam merakam gambar kenangan bersama
Ustazah Shasha dan Ustazah Halimah.
Majlis ini dirasmikan oleh Puan Hamsiah Hj Jamil, guru besar SK Paya Mebi. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa syukur atas penganjuran majlis ini, lebih-lebih lagi kejayaan menampilkan 18 orang peserta khatam untuk tahun ini. Beliau mengakui bahawa bukan mudah membimbing pelajar dalam mempelajari Al-Quran, apatah lagi berjaya menamatkannya. Kejayaan mengetengahkan 18 peserta khatam sudah dianggap kejayaan yang cukup manis bagi sekolah kecil seperti SK Paya Mebi. Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada guru-guru Pendidikan Islam, j-Qaf, dan KAFA serta ibu bapa atas usaha dan dorongan mereka dalam melahirkan generasi yang berupaya mengkhatam AL-Quran, dan seterusnya menjadi generasi 'celik' Al-Quran suatu hari nanti. Beliau juga berharap supaya kejayaan peserta-peserta khatam ini menjadi contoh dan ikutan pelajar-pelajar lain dalam menggiatkan usaha mempelajari Al-Quran.


"Al-Quran dihayati, hidup diberkati," merupakan tema pilihan untuk majlis khatam kali ini. Tema ini amat tepat dengan peranan Al-Quran dalam kehidupan umat Islam. Ibnu Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Kamu hendaklah membaca Al-Quran kerana kamu akan diberi ganjaran atas bacaan kamu tersebut. Ingatlah, aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf. Akan tetapi, alif (ganjarannya) sepuluh, lam (ganjarannya) sepuluh, dan mim (ganjarannya) sepuluh. Semuanya tiga puluh. Petikan sabda junjungan ini memperingatkan kepada kita bahawa ganjaran membaca Al-Quran itu sangat besar. Oleh itu, rebutlah peluang mempelajari Al-Quran supaya kita dapat membacanya dengan baik. Selain itu sebagai muslim kita patut menyedari bahawa Al-Quran ialah kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di samping merupakan suatu mukjizat daripada Allah. Mukjizat (معجزة) pula, ialah perkara luar biasa dan hanya berlaku kepada rasul bagi membuktikan kerasulannya.  Beruntungnya kita sebagai umat Muhammad kerana dibekalkan dengan mukjizat seperti Al-Quran yang membolehkan kita mungkin menemukan 'perkara' luar biasa dalam hidup,  sepertimana peristiwa yang dipapar pada http://www.asraffayob.com/quran-get-inspired/pernah-alami-%E2%80%99fenomena-umar%E2%80%99/ ini.

Kesimpulannya, apabila kita menyingkap kembali petikan pesanan terakhir junjungan mulia nabi Muhammad S.A.W yang menjelaskan bahawa 'sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku'. Sesungguhnya, ungkapan ini membawa mesej  yang cukup jelas bahawa Al-Quran ada 'rahsia besar'. Oleh itu, marilah kita beramal dengan yakin akan Al-Quran.